Majlis Solat Hajat & Program Relaksasi Minda 2018

29 09 2018

Pada Jumaat, 28 September 2018 bersamaan dengan 18 Muharram 1440H, SMK Puteri Ampang telah menganjurkan majlis Solat Hajat dan Program Relaksasi Minda dengan kerjasama Masjid Ibnu Mas’ud.

Program ini bertujuan untuk membantu murid menguruskan tekanan ( stres ) dalam diri mereka secara positif serta mengetahui cara dan persediaan untuk menghadapi peperiksaan SPM dan PT3 yang bakal menjelang tiba.

Selain itu, program ini dapat menanamkan rasa tanggungjawab terhadap kepentingan penghayatan Islam dalam kehidupan seharian.

 

Program ini bermula di Dewan SMK Puteri Ampang pada pukul 10.30 pagi hingga 12.00 tengah hari dengan slot 1 bersama SSR Team. Seterusnya, murid-murid diberikan masa rehat dan solat zuhur sehingga pukul 2.00 petang. Program diteruskan dengan pendaftaran sebelum slot 2 iaitu bersama Da’i Muhammad bermula. Selepas solat Asar, program diteruskan lagi dengan slot 3 bersama dengan SSR Team.

Tepat 6.30 petang, murid-murid tiba di Masjid Ibnu Mas’ud dan mula mendaftar.            Pada pukul 7.00 malam, murid dan guru terlibat membuat persiapan solat maghrib berjemaah yang diikuti dengan bacaan Yassin.

Program diteruskan dengan motivasi bersama ibu bapa oleh SSR Team. Pada 8.50 malam, Solat Isyak dan Solat Hajat secara berjemaah dijalankan. Bersurai pada pukul 9.30 malam.

 





Sambutan Bulan Kemerdekaan 2018 ke-61

17 09 2018

Sambutan Bulan Kebangsaan adalah satu sambutan yang diadakan setiap tahun untuk menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan yang disambut setiap tahun pada 31 Ogos. Sambutan ini akan diadakan selama sebulan dan beberapa aktiviti diadakan untuk memeriahkan sambutan. Sambutan Bulan Kemerdekaan juga diadakan untuk memupuk semangat cinta akan negara dalam kalangan murid-murid SMK Puteri Ampang.

Sambutan Bulan Kebangsaan yang ke-61 bermula dengan perasmian pada 6 Ogos 2018 sehingga Penutupan Bulan Kebangsaan iaitu pada 16 September. Sambutan ini disempurnakan oleh YM Raja Norazam Binti Raja Salleh, Pengetua SMK Puteri Ampang.

Objektif bagi Sambutan Bulan Kebangsaan 2018 ialah untuk memupuk semangat cinta akan negara. Seterusnya, mendidik murid-murid supaya menghargai jasa pejuang-pejuang kemerdekaan yang telah berjasa kepada negara. Selain itu, dapat melahirkan murid-murid yang bertanggungjawab serta mempunyai nilai patriotisme yang tinggi. Akhir sekali, sambutan ini dapat menerapkan nilai-nilai perpaduan dalam kalangan murid sekali gus memupuk kerjasama antara warga sekolah.

Pada 6 Ogos 2018, jam 8.00 pagi, YM Raja Norazam Binti Raja Salleh telah merasmikan bulan kebangsaan bertempat di Dataran Puteri. Seterusnya, pada 26 Julai jam 8.00 – 8.30 pagi, taklimat Rukun Negara diberikan Oleh En Herman Bin Hj. Hamid Jabatan Penerangan WPKL (Penyelaras Kelab Malaysiaku). Selain itu, pada 1&2 Ogos 2018, jam 9 pagi, terdapat Pesta Buah-Buahan Tempatan anjuran dari Kelab Guru bertempat di Parkir Masjid. Pada 6 Ogos – 17 Ogos 2018, setiap kelas perlu membuat sudut patriotik bagi memeriahkan bulan kebangsaan. Kelas yang terlibat ialah Tingkatan 1,2,3& 4.

Seterusnya, pada 6 Ogos – 10 September 2018, Panitia Pendidikan Seni Visual telah mengadakan Pertandingan Melukis Potret di Studio Seni. Pada masa yang sama, Panitia Pendidikan Islam telah menganjurkan pertandingan Dai Muda yang berlangsung di surau manakala bagi Panitia Sejarah, mereka mengadakan Kuiz Tokoh Rukun Negara pada 6 Ogos-13 September 2018 pada waktu perhimpunan. Panitia Pendidikan Moral telah mengadakan Gotong-royong untuk menyusun dan melipat bendera pada 1 Ogos – 13 September 2018. Pada  14 September, Panitia Sejarah/Pendidikan Moral/Pendidikan Sivik& Kewarganegaraan/ Geografi telah mengadakan Lawatan Sambil Belajar Ke Kuala Kangsar, Perak. Akhir sekali, Penyampaian hadiah bagi penutupan bulan kebangsaan dianjurkan oleh panitia Geografi di perhimpunan pada 18 September 2018.