Program Ceriathon Tahun 2018

15 07 2018

Pada 14 Julai 2018 (Sabtu), Perasmian Program Ceriathon Tahun 2018 oleh Dato’ Raslin bin Abu Bakar telah diadakan di Dataran Puteri SMK Puteri Ampang. Program ini dijalankan selama 3 bulan iaitu sehingga 13 Oktober 2018 bagi memberikan warga sekolah masa untuk mengumpul duit sumbangan tersebut. Pihak sekolah mensasarkan RM150 000 bagi membuat penambahbaikan.

Objektif bagi program ini adalah untuk menaiktaraf Dewan Serikandi sekolah, menyediakan Gimnasium dengan pelbagai kemudahan, mengutip dana bagi pembangunan fizikal dan keceriaan sekolah serta menambah tabung kewangan PIBG untuk membiayai pelbagai projek yang memberi manfaat kepada murid-murid.

Program Ceriathon ini dimulakan dengan perhimpunan pagi dan seterusnya aktiviti senamrobik sehingga 8.15 pagi. Kemudian, pelancaran ceriathon dan program sekolah “TrEES” dijalankan dengan jayanya. Murid-murid menjalankan PdPc seperti biasa pada 10.00 pagi.

 





RIMUP Hari Raya Aidilfitri & DWEN

14 07 2018

Rimup Hari Raya Aidilfitri & DWEN ini bertujuan untuk memeriahkan perayaan Hari Raya Aidilfitri pada tahun 2018. Selain itu, objektif lain juga ialah untuk melahirkan murid-murid yang saling menghormati dan menghayati bahawa setiap kaum mempunyai perayaan yang berbeza dan boleh diraikan oleh semua kaum.

Majlis ini telah diadakan pada Jumaat, 13 Julai 2018 bertempat di Laman Gemilang.

Pada pukul 7.20 pagi, perhimpunan rasmi diadakan dan seperti setiap hari Jumaat yang lain, bacaan Yassin diadakan. Pada pukul 7.40 pagi, PdPc dijalankan seperti biasa  sehingga pukul 8.40 pagi, di mana murid-murid diarahkan berkumpul ke Dewan Srikandi.

Ketibaan tetamu pada pukul 9.00 pagi disusuli dengan bacaan doa dan ucapan pengetua, Puan Raja Norazam binti Raja Salleh. Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah DWEN serta penyampaian hadiah kepada Puan Noreha binti Mohamed Zain.

Tepat pukul 9.30 pagi, majlis jamuan RIMUP Aidilfitri bermula di Laman Gemilang. Sambutan ini telah dimeriahkan dengan persembahan oleh guru dan murid. Terdapat juga tetamu dari sekolah jiran iaitu S.M.K Seri Ampang yang turut memeriahkan majlis. Murid-murid dan guru-guru menjamu selera pelbagai jenis hidangan yang menyelerakan.

Pada 11.30 pagi, murid-murid membersihkan khemah serta kawasan Laman Gemilang. Akhirnya, pelajar bersurai pada pukul 12.00 tengah hari.

 






Hari Diskusi 2018

7 07 2018

Hari Diskusi ini diadakan pada 6 Julai 2018 di Dewan Serikandi bagi murid-murid tingkatan 4 dan 5 manakala murid-murid tingakatan 1 hingga 3 di gimnasium sekolah.

Objektif program ini ialah menjalinkan hubungan baik antara pihak sekolah dengan ibu bapa dalam menyelesaikan masalah pembelajaran anak-anak mereka, memastikan ibu bapa tahu penglibatan dan tahap pencapaian anak-anak mereka dalam pembelajaran di sekolah terutama dalam Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah serta mewujudkan kerjasama antara kedua belah pihak untuk meningkatkan pencapaian murid dalam pembelajaran dan membina jati diri murid.

Pada 8.00 pagi, pendaftaran ibu bapa diadakan. Taklimat pelaporan prestasi murid-murid dijalankan pada 8.30 pagi. Kemudian, ibu bapa ke kelas anak-anak mereka untuk mengetahui pelaporan prestasi dengan lebih lanjut.